Suatu hari pada musim haji,
Abdullah bin Mubarak melaksanakan ibadah haji di tanah suci tertidur di
Masjidil Haram. Dalam tidurnya, beliau bermimpi bertemu dengan seorang malaikat
yang memberitahunya antara orang mendapat haji mabrur pada tahun itu adalah
seorang tukang kasut bekerja di pasar Baghdad. Selepas itu, Mubarak terjaga dari tidurnya.
Sungguh terkejut sekali beliau dengan mimpi itu dan sangat hairan kenapa tukang
kasut itu hadir dalam mimpi berkenaan.
Apakah yang dilakukan tukang kasut itu hingga
melayakkan dia mendapat haji mabrur. Beliau kemudiannya mencari dan akhirnya
menemui tukang kasut itu serta memintanya menceritakan apakah amalan yang
dilakukannya hingga dia masuk dalam mimpinya dengan membawa perkhabaran
mendapat haji mabrur.
Tukang kasut pun menceritakan peristiwa dia
bersama isterinya selama 30 tahun merancang untuk naik haji. Selama itu, hampir
setiap hari, minggu dan bulan dia menabung dan mengumpulkan wang dengan
menjalankan kerja-kerja upah memperbaiki kasut. Tahun ini tabungan hajinya bersama isteri sudah
cukup dan dia buat keputusan untuk naik haji. Namun apa yang terjadi? Suatu
hari, isterinya mencium bau harum masakan dari jirannya. Disebabkan hairan dengan haruman masakan itu
isterinya memberanikan diri menghampiri rumah jirannya dengan harapan untuk
meminta sedikit masakan itu.
“Wahai jiran yang baik, hari ini saya mencium
harumnya masakan kamu, bolehkah saya rasa sedikit masakan itu?” pinta isteri
tukang kasut itu kepada jirannya.
“Tuan puteri yang baik, masakan ini tidak halal
bagimu,” jawab jirannya.
“Mengapa tidak halal?” tanya isteri tukang sepatu
itu dengan terkejutnya.
“Daging yang kami masak adalah bangkai yang kami
temukan di jalan. Kami tidak tahan melihat anak-anak kami kelaparan. Kami sudah
membanting tulang mencari makanan yang lebih baik, tapi kami tidak berjaya
juga.
Akhirnya hanya bangkai ini yang kami dapat, lalu
kami masak demi melihat anak-anak dan keluarga kami tidak semakin menderita,”
kata jirannya itu. Mendengar cerita itu, isteri tukang kasut itu
pulang dan menceritakannya kepada suaminya. Si tukang kasut itu tanpa banyak
bicara segera membuka tabungan haji yang dikumpulkannya selama 30 tahun dan
dibawa ke rumah jirannya itu.
“Wahai jiran yang baik, ambillah semua wang ini
untuk keperluan makan kamu dan keluargamu, inilah haji kami”, kata tukang kasut
itu.
Perbuatan mulia tukang kasut itulah yang masuk
dalam mimpi orang alim terkenal, Abdullah bin al-Mubaarak sebagai memberitahu
haji mabrur yang diperolehinya walaupun dia belum lagi pergi ke Makkah.
Kisah di atas, menceritakan betapa hati yang mulia
dan baik selalu mendapat tempat yang mulia di sisi Allah. Hati yang baik
menghantarkan kepada pemiliknya kepada perbuatan yang baik dan terpuji. Hati yang baik mendatangkan pahala dan kurnia Allah
tidak hanya untuk si pemiliknya, namun untuk seluruh umat manusia. Benarlah kata
Rasulullah “Sesungguhnya dalam jasad ada segumpal darah, kalau itu baik, maka
baiklah seluruh anggota tubuh”. Hati yang baik itulah yang melahirkan keprihatinan
luar biasa. Tidak hanya mementingkan diri sendiri, malah
cerita ini menunjukkan mengutamakan mereka yang sangat memerlukan pertolongan pasti mendapat
ganjaran pahala yang amat luar biasa sekali daripada Allah. Bayangkan tukang kasut yang tidak pergi ke Makkah
sekalipun tetapi mendapat pahala haji mabrur. Itulah ganjaran keprihatinan.
Artikel ini dicopy-paste dari Harian Metro.